Skrip Drama Pentas
CHEMPAKA BERDARAH karya A. RAHIM ABDULLAH
Di olah semula oleh Omar Nazi
WATAK
MAK JAH-Seorang ibu yang penyayang.
CHEMPAKA-Seorang gadis berketurunan Inggeris,anak angkat MAK JAH.
ZAMAN-Seorang pemuda terpelajar yang keras hati dalam mempertahankan maruah keluarganya.
PROF. PETER-Seorang Inggeris,menjadi pensyarah sosiologi yang mencari adik
perempuannya.
Semua pelakon berbaris tunduk hormat dan memperkenalkan watak masing-masing.
BABAK I
LATAR MASA:Pagi menjelang tengah hari.
LATAR TEMPAT:Di dalam sebuah rumah yang sederhana di sebuah kampung.Perhiasannya bersesuaian dengan tahun 1960-an.
MAK JAH sedang mengemas rumah.Dia menunggu kepulangan ZAMAN yang baru saja selesai pengajiannya di sebuah universiti di Kuala Lumpur.CHEMPAKA yang sepatutnya membantu MAK JAH mengemas rumah terlelap di sofa.Tetapi tiba-tiba dia terjaga.
CHEMPAKA:Abang Zaman dah balik ke mak?
MAK JAH: (Berhenti menyapu)Sepatutnya dah sampai.
CHEMPAKA: (Mengesat-ngesat mata) Chem ingatkan Abang Zaman dah sampai.Kalau
Abang Zaman belum sampai,bunyi apa dekat luar tadi ya?
MAK JAH:Hah,bunyi apanya.Mana ada orang dekat luar...(Terjenguk-jenguk kemudian
menoleh semula ke arah CHEMPAKA)Kamu ini mengigau agaknya.Sampai terlelap.
CHEMPAKA: (Tertawa kecil) Mana taknya.Lama benar menanti.Cuti penggal pertama
dia tak balik.Sekarang ini pula sudah tahun akhir,tentu lebih sibuk.Chem
bimbang kalau-kalau Abang Zaman tak mahu balik lagi.Di Kuala Lumpur
macam-macam ada.
MAK JAH: Masakan abang kamu melupakan kita sampai tak mahu pulang.Mak percaya
Abang Zaman kamu takkan melupakan kita walau sesaat pun.
CHEMPAKA:Apa Abang Zaman sudah terpikat dengan gadis-gadis Kuala Lumpur?
MAK JAH:Takkanlah sampai begitu sekali Abang Zaman kamu berbuat begitu.Mak tahu
benar Abang Zaman kamu itu.Mak tahu dia tekun belajar.Mak tahu dia sedar
kita ini orang susah.Masakan dia bermain-main.Dia belajar pun sebab mahu
lulus periksa,Chem.Macam apa yang orang selalu sebut,tahun ini dia nak
dapat ija...ija...
CHEMPAKA:Ijazah..Ijazahlah,mak(Tertawa)
MAK JAH:Lebih kuranglah itu.Manalah mak tahu menyebutnya.Mak bukannya pernah
sekolah dulu.
Tiba-tiba PROF. PETER melaung dari luar rumah.
PROF. PETER:Helo!Ada sesiapa di rumah tak?
CHEMPAKA:Eh,(berkerut)suara siapa pula itu,mak.Itu bukan suara Abang Zaman.Lain benar bunyinya.
MAK JAH:Kalau bukan Abang Zaman,siapa pula itu?Eh,Chem mari kita tengok...nanti,
nak...(berjalan ke tingkap bersama-sama CHEMPAKA)
CHEMPAKA dan MAK JAH mengintai dari tepi tingkap.
PROF. PETER:Ada sesiapa di dalam?(Terjenguk-jenguk)
CHEMPAKA: (Berbisik kepada MAK JAH) Wah,tinggi benar orangnya mak,macam
Orang Putihlah...siapa sebenarnya orang ini ya?
MAK JAH:Entahnya,mak pun tak mengerti.Hah,Chem,kau masuk dulu...jangan keluar-
keluar hingga orang itu pergi.
CHEMPAKA segera masuk ke dalam bilik.
MAK JAH: (Membuka pintu) Tuan ini mencari siapa?
PROF. PETER:Adakah ini rumah Mak Jah?
MAK JAH: (Sedikit gentar)Iya...iya,tuan.Sayalah Mak Jah.
PROF. PETER:Tidak mahu menjemput saya masukkah,Mak Jah?
MAK JAH:Err...(ragu-ragu)bukan saya tidak mahu menjemput tuan,tetapi di rumah ini
tiada orang laki-laki.Tuan tak boleh masuk.
PROF. PETER: (Berasa pelik) Mengapa tiada orang laki-laki?
MAK JAH:Suami saya sudah lama meninggal.
PROF. PETER:Habis,Mak Jah tak ada anak laki-lakikah?
MAK JAH:Ada itu ada,tapi...
PROF. PETER:Tapi apa?
MAK JAH:Dia sedang belajar jauh di bandar,di Kuala Lumpur,tuan.
PROF. PETER: (Tersenyum bersahaja) Apakah Mak Jah ini ibu kepada Mohammad
Zaman?
MAK JAH: (Agak terkejut dan mengangguk-angguk)Benar,benar.Tapi bagaimana tuan
kenal akan anak saya itu? PROF. PETER:Begini,Mak Jah.Saya ini sebenarnya guru,pensyarah Mohammad Zaman
di universiti di Kuala Lumpur sana.Apa dia belum pulang lagikah?
MAK JAH:Iya,tetapi tidak lama lagi sampailah dia.Silalah masuk,tuan.
PROF. PETER: (Masuk ke dalam rumah dan memerhati sesuatu)Boleh saya duduk,Mak
Jah?
MAK JAH:Silakan,tuan.
PROF.PETER: (Menarik kerusi lalu duduk)Nama saya Peter,Peter Broom,Profesor Antropologi dan Sosiologi.Saya ke mari kerana mahu menyiasat...
MAK JAH:Tuan mahu menyiasat apa di sini?Sungai sudah ada,jambatan sudah dibuat,apa tuan mahu siasat tanah kami ini ada emas atau tidak?
PROF.PETER:Bukan begitu,Mak Jah.Saya ini profesor bidang sosiologi bukannya arkeologi.Minat saya pada sejarah bukannya pada tanah.
MAK JAH:Tuan mahu siasat sejarah?Sejarah siapa?
PROF.PETER:Saya ini guru Mohammad Zaman.Tentulah minat kami sama.
MAK JAH:Ya,itu saya tahu.Oh,baru saya teringat,bagaimana pelajaran anak saya?
PROF.PETER:Pelajarannya baik-baik saja.Saya tahu dia sibuk di Kuala Lumpur
Sekarang...tapi satu perkara saja saya kurang senang...
MAK JAH:Apa dia,tuan?
PROF.PETER:Dia itu keras kepala,suka menentang cakap orang,termasuk pensyarahnya...(Kurang puas hati)
MAK JAH:Maafkanlah dia tuan,dia hanya mengikuti perangai arwah bapanya.
PROF.PETER:Sudah lamakah bapanya meninggal?
MAK JAH:Lama juga,tuan.Masa zaman Jepun lagi.Zaman pun baru lahir ketika itu.Saya namakannya Mohammad Zaman,zaman Jepun.
PROF.PETER:Oo...begitu rupanya.Tetapi mengapa Mak Jah tak beri nama Mohammad Jepun?
MAK JAH:Saya tak suka Jepun,tuan.Orang Jepun kasar,ganas dan kejam,tentu tak enak dipakai.Nama orang Melayu lebih sesuai diambil daripada nama orang Islam,tuan.
PROF.PETER:Saya tahu,tetapi apakah Orang Putih ini jahat,Mak Jah?
MAK JAH:Orang Putih ini baik,tetapi...mereka ini bekas penjajah di negeri ini,tuan.Tentu kurang molek orang Melayu pakai nama Orang Putih.
PROF.PETER:Nampaknya kuat benar semangat nasionalisme Mak Jah ya...
MAK JAH:Apa itu,tuan?Saya kurang mengerti.
PROF.PETER:Tak mengapalah,Mak Jah.(Berfikir dan tersenyum)Apa Mak Jah ini
benar-benar sayang pada Zaman?
MAK JAH:Eh,tuan ini,ibu mana yang tak sayang anak.Tuan tahukan kisah si Tenggang anak derhaka itu?Biar bagaimanapun sikap anak,si ibu tetap sayang akan anaknya.
PROF.PETER:Saya faham,Mak Jah.Tapi Mak Jah harus menasihati Mak Jah.
MAK JAH:Nasihat.Nasihat apa,tuan?
PROF.PETER: (Bangun dan berlegar-legar di ruang tamu)Mak Jah mesti beritahu dia.
Zaman sekarang ini sudah tahun akhir,tak boleh terlalu ghairah dengan
kerja-kerja tak berfaedah.Dia mesti belajar betul-betul kalau benar-benar
mahu lulus.Kalau dia degil,maka dia akan gagal,dan cita-cita Mak Jah
sendiri akan hancur.(Bercakap dengan nada tegas)
MAK JAH:Saya sudah selalu menasihati dia,tuan.Saya percaya dia itu belajar sungguh-
sungguh,tuan.Kami ini orang miskin,tuan.Jikalau dia masih berkeras,tuan
tolonglah nasihatkan anak saya itu.(Nada sedih)
PROF.PETER:Saya mengerti,Mak Jah...(berjalan ke tepi dinding dan terpesona
melihatkan potret CHEMPAKA yang tergantung di dalam bingkai kaca
yang sederhana besarnya.)Potret siapa ini,Mak Jah?Ini adik Zamankah?
MAK JAH: (Terkejut)Ya,ini adik Zaman,tuan.
PROF.PETER:Anak Mak Jah?(Merenung seketika)Hem...manis sungguh gadis ini...
MAK JAH:Ya,tuan,anak saya itu...
PROF.PETER:Siapa namanya,Mak Jah?
MAK JAH: (Teragak-agak)Namanya...namanya...Chem...Chempaka...
PROF.PETER:Apa dia?Chempaka?Nama bungakah?Di mana dia sekarang ini,Mak Jah?
MAK JAH (Takut-takut) Dia tak ada dirumah sekarang ini...
PROF.PETER:Yakah?(Memandang tepat ke muka MAK JAH)Saya teringat sesuatu...
MAK JAH:Apa dia,tuan?
PROF.PETER:Peristiwa masa lampau...Masih bersekolahkah adik Zaman ini,Mak Jah?
MAK JAH: (Bimbang)Ti...tidak,tuan.Dia sudah berhenti,tuan.Kami ini tak mampu.
Lagipun Chempaka ini perempuan,belajar sikit-sikit cukuplah.Tahu
bezakan alif dengan batang kelapa pun sudah cukup,tuan.
PROF.PETER:Sayang seribu kali sayang.Orang Melayu masih berfikiran sempit walaupun sudah merdeka.Pelajaran itu penting,Mak Jah.Apa Chempaka tidak mahu belajar,Mak Jah?
MAK JAH:Mahu,tuan,dia mahu masuk universiti macam abangnya juga.
PROF.PETER:Mak Jah sudah salah.Mak Jah bersikap tidak adil terhadap anak-anak.Pelajaran itu mestilah untuk smeua orang,laki-laki sama perempuan.
MAK JAH:Itu saya tahu,tapi saya ini orang miskin.
PROF.PETER:Apa boleh buat ya?(Tersenyum mengejek)Baiklah,saya minta diri dulu.
(Memandang potret seraya berjalan ke pintu.)
MAK JAH:Tuan mahu ke mana selepas ini?
PROF.PETER:Saya mahu lihat-lihat sekitar kampung ini.(Keluar)
MAK JAH: (Berjalan ke pintu sambil memerhatikan PROF.PETER yang kemudiannya menghilang)Pelik betul perangai Orang Putih ini...(menutup daun pintu)Chempaka,keluar sini,nak!Orang Putih itu sudah pergi.
CHEMPAKA: (Masuk dengan wajah curiga)Apa yang dia mahu,mak?Lain macam saja bunyinya.Tajam betul bahasa Orang Putih itu ya,mak?
MAK JAH:Entahlah,Chem.Mak pun tak sedap hati.Tidak pernah Orang Putih ke sini selama ini.Benarkah dia itu guru Abang Zaman kamu,Chem?
CHEMPAKA:Entahlah,mak.Kalau Abang Zaman pulang nanti bolehlah kita tanya dia betul atau tidak Orang Putih itu...
MAK JAH:Sudahlah,mari tolong mak sediakan makanan tengah hari.
CHEMPAKA:Baiklah,mak.
BABAK II
LATAR MASA:Petang.
LATAR TEMPAT:Di pinggir belukar dalam sebuah kampung.
Pohon dan akar kayu bergayutan.Terdapat sepohon bidara yang masak buahnya.Disuatu sudut terdapat sepohon kenanga yang sedang berbunga.Terdapat setangkai kenanga yang agak rendah-kira-kira sembilan kaki terjuntai ke bawah.Bunyi burung berkicau riang di hutan.ZAMAN dan CHEMPAKA berbincang bagaimana mahu mendapatkan bunga kenanga diatas pohonnya.
ZAMAN:Alamak,abang terlupa bawa parang pula.Chem mahu buah bidara itu jugakah?
CHEMPAKA:Mestilah.Abang ini,sudah dua tahun di Kuala Lumpur takkan masih tak erti panjat pokok lagi?
ZAMAN:Bukannya abang tak mahu,tapi tak boleh.Tengok badan abang sekarang ini,gemuk dan gempal.
CHEMPAKA:Oh,abang takut jatuh ya?(Mengusik)
ZAMAN:Issh,Chem ni.Abang nak cari juga akar-akar kayu tumbang di tebing sungai sana.Kenalah gunakan parang.
CHEMPAKA:Nak buat apa akar-akar kayu tumbang itu?Akar-akar itukan sudah tidak berguna lagi.
ZAMAN:Tapi berguna untuk ukiran.
CHEMPAKA:Ukiran?Ukiran apa?
ZAMAN:Di Kuala Lumpur sekarang ini macam-macam barang boleh dijual.Bukan saja ukiran kayu mati,kayu laut,tunggul buluh,rotan,semuanya laku.Hah,Chem pernah dengar bonsai?
CHEMPAKA:Bonsai? Apa benda pula itu?
ZAMAN:Bonsai itu ertinya mengecilkan pohon yang besar.Pohon yang berbunga dimasukkan ke dalam pasu.Akar tunjang pohon itu boleh dipotong.Oleh sebab itu,pohon itu tak boleh membesar seperti biasa.Pohon itu akan kerdil sampai beratus-ratus tahun lamanya.Lagi lama pohon itu,lagi mahal harganya.Abang nak cari pohon jeliti di tebing sungai sana.Pohon jeliti ini cukup laku dan senang dijaga.
CHEMPAKA:Abangkan mahu jadi pegawai besar,tapi masih berminat nak berniaga.
ZAMAN:Ilmu ini pun abang dapat daripada orang Jepun.Kalau kita tak ambil peluang,habislah kita.Nanti orang lain pula yang dapat.Kita merdeka bukan bermakna kita tak perlu berusaha.Rezeki takkan datang bergolek kalau tiadanya usaha.Berniaga ikut sunnah Nabi,asalkan halallah.
CHEMPAKA:Terima kasih atas nasihat abang.Sekarang Chem baru sedar.
ZAMAN:Baguslah kalau begitu,jadi sekarang boleh tolong tak?
CHEMPAKA:Tolong apa?
ZAMAN:Tolonglah ambilkan parang di rumah.
CHEMPAKA:Alah,abang ini...Chem letihlah...(Dengan gaya malas)
ZAMAN:Kalau macam itu tak dapatlah buah bidara dengan bunga kenanga akar itu...
CHEMPAKA:Yalah,yalah...pandai abang kenakan Chem.
ZAMAN:Mestilah,Chemkan adik abang.Hah,cepat sikit tau,abang tunggu di sini.
CHEMPAKA:Tunggu tau...(Berjalan dan kemudian berlari pulang)
ZAMAN duduk di bawah pohon bidara.Tiba-tiba PROF.PETER muncul di hadapan ZAMAN sambil tersandang sepucuk senapang di bahunya.
ZAMAN:Eh,Prof.Peter?Bila tuan sampai?Bawa senapang pula?(Bingkas)
PROF.PETER: (Tertawa mengejek)Bukankah negeri ini kecil sahaja.Perjalanan dari Kuala Lumpur ke sini cukup singkat.Sudah lama kamu pulang?
ZAMAN:Petang kelmarin,Prof.
MALIK:(Muncul dengan menghisap rokok,di tangannya membawa sebatang tongkat)Apa khabar saudaraku,Zaman?
ZAMAN:Eh,Malik!Mengapa tiba-tiba saja kamu berada di sini?Kamu sudah berubah sekarang ini,pakaian pun sudah macam koboi.
MALIK:Ya,zaman sudah berubah.Maka aku juga harus ikut berubah juga.Kamu seorang yang terpelajar,bakal D.O. kampung ini.Aku pula hanya pemuda kampung yang tak dapat pelajaran tinggi.Apakah aku tak berhak mengubah cara hidupku,Zaman?
ZAMAN:Bukan begitu maksud aku,Malik.Kita inikan kawan lama.
MALIK:Memanglah kita kawan lama,tetapi itu waktu kita kecil.Sekarang zaman berubah kita pun mesti berubah,seperti apa yang dikatakan Tuan Profesor ini.
ZAMAN:Oh ,jadi kamu sudah pun mengenali Prof.Preter ini?
MALIK:Ya,kami bertemu dua hari yang lalu ketika aku di Bukit Putih.
ZAMAN:Bukit Putih?Kamu buat apa di sana?
MALIK:Sekarang ini zaman ekonomi baru,Zaman.Disana ada banyak rezeki.Aku mencari kayu-kayu mati,akar kayu di tebing sungai,pohon jeliti untuk bonsai.Apakah kau tak tahu pohon-pohon ini cukup berharga di Kuala Lumpur?
PROF.PETER:Malik ini orangnya bercita-cita besar.Boleh menjadi ejen pembangunan di daerah ini.Dia ada vision.Rata-rata orang Melayu walaupun masuk universiti tetapi tidak ada vision.
ZAMAN:Saya kurang faham maksud profesor.
PROF.PETER:Jangan malukan saya di sini,Zaman.Nampaknya Malik ini lebih matang untuk berubah.
ZAMAN:Mengapa pula profesor berkata begitu?Saya tidak bermaksud mahu memalukan status profesor yang saya hormati.
MALIK:Kamu ini belum lulus lagi,sudah tunjuk lagak kepada mahaguru kamu sendiri.Ini memang tak patut Zaman.Engkau langsung tak hormat Prof.Peter.
ZAMAN:Kamu tak berhak masuk campur dalam urusanku ini,Malik.Nampaknya kamu sudah berubah benar ya Malik.
PROF.PETER:Sudahlah Malik.Jangan kamu pula mahu malukan saya di sini,di hadapan mahasiswa yang tiada adab sopan dan budi bahasa.Lebih baik kita pergi tembak burung-burung atau kera di atas bukit sana.(Berjalan keluar diikuti oleh MALIK dengan gayanya yang bongkak)
ZAMAN: (Geram dan merungut)Apalah sebabnya Orang Putih itu ke sini?Berapa sangatlah dia bayar pada Malik Yangkee itu.Manusia,manusia...
CHEMPAKA: (Masuk membawa sebilah parang,termengah-mengah kerana berlari)Mengapa ini,abang Zaman?Lain macam saja...
ZAMAN:Tak ada apa-apalah,Malik tadi...
CHEMPAKA:Malik?Chem tengok Malik itu lain macamlah sekarang ini.Lepas Orang Putih itu datang,dia selalu saja lalu dekat rumah kita.Chem tak suka dialah,bang...Eh,eh,abang nampak tak yang itu...kenanga akarlah,tolonglah bang...(menghulurkan parang kepada ZAMAN)
ZAMAN:Ah,tinggi sangatlah,Chem,tak payah ambillah!(Parang ditangannya ditetak-tetak ke pangkal pohon.)
CHEMPAKA:Tapi tadi abang dah janji nak ambil,mana boleh macam ini,tak adillah(CHEMPAKA memuncungkan bibirnya)
ZAMAN:Janganlah merajuk...(Memujuk)
CHEMPAKA:Abang ini memang,asyik fikirkan diri abang saja...Hal Chem langsung tak kisah.
ZAMAN:Yalah,yalah...abang tengah ambillah ini.(Berjalan ke bawah tangkai kenanga yang terjuntai.Dengan sekali lompat tangkai bunga itu dicantasnya dengan parang.Sebelah tangan lagi menyambut kuntum-kuntum kenanga itu)Nah,Chem ambillah!
CHEMPAKA: (Menyambut bunga itu)Terima kasih,bang.(Mencium dengan gembira)Hmm,sungguh harum baunya.
ZAMAN:Kenanga dengan Chempaka,mana lebih harum?
CHEMPAKA:Dua-dua harum,tetapi kedua-duanya ada kelebihan masing-masing.
MALIK:( Muncul di belakang CHEMPAKA dan ZAMAN)Wah,wah,romantis sungguh pasanngan dua sejoli ini ya,sampaikan kawan lama datang pun tak sedar!
ZAMAN:Mengapa kamu ke mari pula Malik?Tadi kamu bersama-sama Orang Putih itu nak tembak kera.
PROF.PETER: (muncul di belakang Malik)Kera yang lebih besar ada di sini,Zaman.Kera itu sudah lari ke kampung ini sekarang.
CHEMPAKA lari bersembunyi di belakang ZAMAN.
ZAMAN: (Nada marah)Apa maksud profesor berkata begitu?Bukankah itu satu penghinaan kepada saya?
CHEMPAKA:Siapa orang-orang ini sebenarnya bang?
ZAMAN:Entah apa niat mereka yang sebenar,abang pun tak tahu.
PROF.PETER:Kamu Chempaka yang cantik rupawan itu,tak tahu apa-apa.Kamu menjadi mangsa penipuan....(berjalan kearah ZAMAN)
CHEMPAKA:Apa kamu mahu?
PROF.PETER:Aku mahu tahu mengapa rambutmu perang,Chempaka?
MALIK:Tiba-tiba saja aku terpikat pada rambutmu Chempaka.
CHEMPAKA:Apa engkau peduli?Aku tak suka pada engkau Malik,engkau dah gila!
ZAMAN:Profesor,kamu tak berhak tahu hal adik aku dan keluargaku.Semua berlaku dengan kehendak Tuhan dan alam.
PROF.PETER:Tuhan?(Tertawa)Mana boleh kehendak Tuhan dan alam.Mesti dengan faktor lain:generasi dan darah tahu tak?Tapi aku tahu adikmu itu bukanlah adik yang sebenar!
MAK JAH: (Berjalan cepat membawa tongkat,separuh takut dan separuh marah)Hai Orang Putih,mengapa kamu datang lagi...Apa kamu nak sakitkan hati akau lagi?Kamu mahu rampas aku ya?
CHEMPAKA: (lari memeluk MAK JAH)Mak,siapa Orang Putih ini,mak?(menangis)Dia nak apa daripada Chem sebenarnya?
PROF.PETER:Hai,Mak Jah!Jangan pura-pura lupa dan pura-pura tak tahu.Aku sedang mencari adik aku yang ditinggalkan oleh ibu semasa Perang Jepun dulu.
MAK JAH:Disini tidak ada adik kamu.Mana ada Orang Putih disini!
CHEMPAKA:Aku bukan adikmu.Ini ibuku.Itu abangku.Lebih baik tuan pergi dari sini.Jangan ganggu kami!
PROF.PETER:Kamu semua tak boleh menipu aku!
ZAMAN:Profesor jangan mahu menempah aral disini.Terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya!Kamu Malik,kamu sudah jadi tali barutnya ya,kamu sudah jadi barua pada profesor aku ini,ya?
MALIK agak panik lalu menghilangkan diri.
PROF.PETER:Zaman,kamu sudah melampau.Kalau kamu tidak hormatkan aku,tidak apa.Tetapi hak aku kamu rampas maka aku akan bertindak!
ZAMAN:Aku hormatimu sebagai pensyarah.Sebagai profesor.Tapi kalau hak kami kamu mahu rampas dan cabuli,aku tidak akan teragak-agak untuk berfikir dua kali,Profesor.Engkau tak ada hak disini!
PROF.PETER:Aku rakyat di sini.Aku juga ada hak!
ZAMAN:Rakyat?Kerakyatan yang kamu dapat dengan tipu helah?Kau datang untuk memecahbelahkan kami,bukan untuk menyatukan kami.Engkau ini profesor berbulu ayam.Apakah ini intelektual yang patut mengajar kami?
MAK JAH:Sudahlah,nak.Sekarang beritahu...apa mahumu?
PROF.PETER:Aku mahu mengambil adikku.Aku mahu dia hidup dalam keluargaku!...(menerkam ke arah CHEMPAKA,tetapi CHEMPAKA sempat lari ke arah ZAMAN)
ZAMAN:Engkau jangan berani sentuh dia,Peter!
CHEMPAKA:Aku bukan adik kau.Engkau ini Orang Putih gila!
PROF.PETER:Aku tahu Mak Jah.Ibuku telah sembunyikan adikku di tebing sungai Bukit Putih sebelum orang Jepun serang dan bunuh ibu bapaku.Engkaulah yang telah mencurinya...
ZAMAN:Engkau bohong,Peter.Jangan cuba tuduh ibuku pencuri.Keturunan kami belum ada yang menjadi perompak seperti bangsa kau!
PROF.PETER:Engkau dia,Zaman.Engkau tak tahu semua ini.Aku bernasib baik belajar di England masa Perang Dunia Kedua.Berapa tahun aku mencari adikku yang entah ke mana itu.Tiap-tiap tahun aku pulang ke banglo buruk Estet Putih itu...dan sekarang aku benar-benar yakin aku sudah menemuinya.
ZAMAN:Engkau salah,Peter.Engkau masih tak cukup bukti.
PROF.PETER:Aku sanggup bertugas di negara ini semata-mata hanya mahu mencari Chempaka.Sekarang ini dia sudah jadi orang Melayu.Tapi darahnya masih darah keturunanku...lihat rambutnya yang perang...mengapa rambutmu hitam,Zaman?
MAK JAH: (Menangis dan meraung) Tidak!Engkau tipu aku ya Orangt Putih!Dia anak aku...
PROF.PETER:Tidak cukupkah keteranganku ini?
ZAMAN:Engkau dusta.Engkau tak ada hak ke atas Chem.Dia ada adik aku.
PROF.PETER:Dia adik aku Zaman!
ZAMAN:Tidak.Engkau jangan nak tipu aku lagi,Peter.Selama ini engkau mengintip keluarga kami ya.Konon buat kajian.Engkau sebenarnya takut pada demonstrasi pelajar-pelajar yang menentang pensyarah luar seperti engkau!
PROF.PETER:Bohong!Itu tak benar sama sekali.
ZAMAN:Engkau penipu Peter(mengacu-acukan parang)Kalau engkau mahu selamat baik engkau berambus cepat!
PROF.PETER:Aku benci tinggal di kampung yang busuk,kotor dan daerah yang tak bertamadun ini.Tetapi aku mesti bawa Chempaka sama...
ZAMAN:Engkau tak ada hak ke atasnya!
PROF.PETER:Sebagai saudara kandung,aku ada hak!
ZAMAN:Aku kata tidak,tidak!Engkau tak faham bahasa Melayu.Tak tahu adat!(mara ke hadapan)Berambus cepat,Peter!
PROF.PETER: (Bagaikan terkejut lantas menghalakan senapang ke arah CHEMPAKA)Engkau melampau Zaman...awas Chem...ular,ular!(lalu melepaskan tembakan)
CHEMPAKA menjerit lalu jatuh ke bumi.Kuntum kenanga masih didalam genggaman,tetapi dibaluti darah yang makin banyak keluar)
MAK JAH: (Meraung dang berlari memangku CHEMPAKA)Anakkku!...ya Allah...Orang Putih laknat...
ZAMAN:Bedebah engjkau Peter!Engkau tembak adik aku! Sekarang engkau terima balasannya!
PROF.PETER:Aku tidak berniat menembaknya...aku mahu bunuh ular di atas kepalanya...
ZAMAN:Engkau sengaja mahu pisahkan adikku daripada kami Peter...(Mak Jah mendapatkan ZAMAN dan menahannya daripada menentang PROF.PETER)Lalu Mak,profesor ini akan aku ajar!(Beberapa kali MAK JAH tak dapat menahannya,dia terjatuh ditolak ZAMAN)
Pergelutan berlaku.Senapang mahu dirampas ZAMAN.Akhirnya PROF.PETER lari ke hutan.ZAMAN mengambil parangnya semula dan mengejar PROF.PETER.Tetapi terdengar satu das letupan senapang.Masing-masing tercengang.
MAK JAH:Anakku,Zaman...ya Allah...
Tiba-tiba ZAMAN muncul dari hutan.Mereka berpelukan.
MAK JAH:Syukurlah nak.Kamu sudah selamat.
ZAMAN:Man harap lepas ini takkan ada sesiapa lagi yang cuba merampas kebahagiaan keluarga kita,mak.Man harap sangat.
MAK JAH:Ya,mak harap begitulah.Mak pun tak sanggup laluinya lagi.(Sebak)
ZAMAN:Sudahlah mak.Mari kita angkat Chem,bawa ke doktor.Makin banyak darahnya keluar.
MAK JAH:Yalah,Man...lekas...(MAK JAH memapah CHEMPAKA di sebelah kanan diikuti ZAMAN di sebelah kiri.)
ZAMAN: (Sambil memapah)Tapi mak...(Berhenti sebentar dan menoleh ke arah MAK JAH)Benarkah Chempaka bukannya ahli keluarga kandung kita?
MAK JAH tersentak.MAK JAH enggan membalas.Mereka terus berjalan hingga keluar pentas.
ZAMAN:Mak?
Semua pelakon berbaris tunduk hormat kepada penonton dan keluar pentas.
TAMAT
No comments:
Post a Comment